perjalanan tetamu

Name:
Location: Kuala Terengganu, , Malaysia

an architect by training, a teacher at heart, an observer by nature and a writer without discipline at best; other scribbles at www.puncacipta.com

Tuesday, December 07, 2004

Tawaf dalam hujan

Mekah dan Madinah adalah dua kota di padang pasir Sahara. Hujan adalah sesuatu yang jarang. Apalagi hujan lebat yang berterusan seharian. Hari ini sejarah terukir. Bakal haji Terengganu, lebih 3000 darinya bertawaf, bersaei dan melontar dalam hujan yang tidak berhenti. Namun pada wajah-wajah pak cik makcik yang lengkap berihram, hujan dan hakikat bahawa segalanya hanyalah satu lakunan, satu raptai seragam tidak mengurangkan keteguhan niat dan matlamat mereka. Talbiah dilaungkan, berarak dalam kumpulan dengan semangat yang amat kental untuk menghadapi satu perjuangan. Ada ambulan yang di bawa masuk, membawa keluar seorang insan yang kesakitan. Ramai pula selepas tawaf dan saei, berbungkus kain ihram berteleku, menggigil kesejukan. Realisme ada wajah pada hari ini.

Hari ini (3 Disember 2004) saya melihat hujan lebat dan jalan becak yang tidak mampu melunturkan biarpun sedikit iltizam para bakal tetamu Allah. Saya melihat juga bagaimana 3000 lebih manusia dalam warna putih ihram, berpusu-pusu, sudah cukup besar jumlahnya. Terasa terlalu kecil hati ini; bagaimana agaknya berada dalam 2 juta manusia. ‘Ya Allah, hanya Engkaulah yang akan mempermudahkan perjalanan dan pekerjaan kami.’

‘Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggup’

(Al Anfal 60)

Haji adalah perjalanan sekali seumur hidup. Sedikit sangat dari kita yang diberi Allah kelebihan rezeki untuk mengulanginya. Kalaupun mampu dari segi kewangan, kuota haji itupun cukup untuk menjadi satu rintangan. Melalui sendiri persediaan yang ‘dipaksakan’ oleh Tabung Haji, kursus bersiri mingguan (saya terlepas), kursus intensif, taklimat pakej, ceramah haji perdana, utusan surat menyurat dan pertemuan yang berterusan, mencerminkan pengurusan yang teratur dan kemas. Saya melihat falsafah kesediaan dan kesiapan yang dilaksanakan.

Kabarnya, suhu di Madinah cukup sejuk waktu ini, 10 darjah dengan angin kering yang dingin menusuk tulang. Menggigil dalam basah kuyup ini masih belumpun separuh hampir dengan kenyataan. Sesungguhnya hujan ini rahmat Tuhan.

Friday, November 26, 2004

Telefon Kamera

Baru-baru ini diumumkan yang Kerajaan Saudi haramkan telefon kamera dari dibawa masuk ke dalam Tanah Haram. Siapa yang bawa juga kameranya akan dirosakkan. Jadi telefon kamera sudah termasuk dalam senarai seperti kamera video dan risalah-risalah propaganda yang memang dilarang. Bagus juga ‘pengharaman’ ini sebab macam di masjid kita di sini juga, bunyi telefon selular ini cukup menganggu kesyahduan masjid; dan ketenteraman jemaah yang lain. Tapi jangan kita mengata bukan-bukan, kemungkinan besar mereka hanya terlupa tutup sebelum solat. Tak payahlah sampai kena khatib umumkan ‘sila tutup telefon’ macam dalam panggung wayang.

Saya ada dua pandangan dalam soal kamera ini. Pertama saya rasa wajar ia dibolehkan. Kedua saya rasa wajar juga dilarang. Ia wajar dibolehkan sebab dengan telefon kamera ini boleh dihantar gambar terkini pada anak-anak di tanah air buat penghilang rindu. Baik juga dilarang sebab takut disalahgunakan dan dihantar gambar bukan-bukan.

Suatu masa dulu Kerajaan Saudi cukup tegas pasal gambar Masjidil Haram, Kaabah dan tempat-tempat suci yang lain. Gambar yang sampai ke Malaysia Cuma gambar hitam putih yang patutnya dah lama masuk arkib. Cuma kebelakangan ini sudah ada jurugambar yang dibenarkan merakamkan haji dan umrah dan senario Tanah Haram. Perjalanan haji sudah dirakam dan ditayang dalam ‘Discovery Channel’, dalam ‘Jejak Rasul’ dan mungkin dokumentari lain-lain bahasa. Poster-poster Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi kini boleh dibeli dengan mudah. Solat terawikh pun kini disiarkan secara langsung. Gambaran Baitullah kini lebih ‘grafik’ daripada masa dulu dimana ada orang kata Kaabah itu tak boleh nak diceritakan rupanya. Kita di Malaysiapun memang cukup liberal dalam hal ini. Kaabah replikapun dibuat untuk penerangan haji. Mungkin di Malaysia hal ini boleh. Di negara lain ditakuti ada yang cukup pergi haji di Mekah replika saja. Dalam ‘Discovery’ (atau mungkin siaran TV lain) baru ini kalau tak salah saya diberitahu ada golongan yang mengerjakan haji di India kerana sudah ada ‘Kaabah’ dan ‘Masjidil Haram’nya. MasyaAllah. Dalam hal ‘khurafat’ dan ‘bidaah’ ini Saudi memang tegas. Mana-mana objek termasuk yang memang amat bersejarahpun kalau mula di’puja’ (macam keramat di tempat kita) ia akan dirobohkan. Para jemaah haji yang meraung-raung di dinding Kaabah dan di pagar makam Rasulullah terpaksa dihalang secara kasar. Mungkin bagi orang Saudi, Kaabah dan Makam Nabi sentiasa depan mata mereka taklah mereka hairan sangat, bagi yang datang dari jauh; dari Afrika dan dari India, orang-orang jauh macam kita semua, saya nampak mereka semata-mata melepas rasa ‘rindu’ yang amat dalam. Cuma per’nyata’an rindu mereka lebih ‘dramatik’ dari kita. Tapi itu pandangan saya sahaja. Tugas ‘Khadam Dua Tanah Suci’ yang pegang oleh Saudi bukan satu amanah yang ringan. Nak kawal 2 hingga 3 juta jemaah bukan mudah. Mereka sudah melakukan segalanya sebaik mungkin. Kalau beri tugas itu pada kita belum tentu lagi. Anjur sukan ‘komanwel’ pun boleh rugi.

Kalau setakat dilarang bawa telefon kamera tu, ikut sajalah. Tak ada apa yang rugi.

Tuesday, November 23, 2004

Bercukur

Sebelum buat umrah dalam tahun 1998 dulu, saya tidak pernah bercukur. Bercukur masa masih bayi tak kiralah sebab itu ‘dicukur’ bukan ‘bercukur’. Rupanya nak bercukur ini bukan mudah, rambut di atas kepala ini macam satu lambang kebanggaan, membotakkan kepala macam menghina diri sendiri. Lepas umrah pertama kali saya hanya bergunting, tak sanggup untuk membuang segala rambut walaupun asalnya memang itu yang saya niatkan awalnya. Hanya setelah umrah kali kedua esoknya, saya mengeraskan hati untuk melalui ‘penghinaan’ ini. Tukang-tukang gunting Arab di kedai gunting sebelah Marwah cukup memberi ransangan, ‘Botak? Botak?’ kemudian pantas mencukur bila saja kita menganggukkan kepala, cepat, lima minit pun tak sampai semuanya selesai, bersorak mengangkat ibu-jari tanda ‘bagus’ bila kepala selesai dibotakkan. Lebih meriangkan ialah tepukan dan tahniah dari teman-teman seumrah apabila saya muncul dengan kepala botak di dewan makan hotel. Sebenarnya tidak ada kata yang dapat menggambarkan rasa syahdu dan ‘humble’ apabila tiada apa lagi yang menutupi kepala. Tiada juga kata yang dapat menggambarkan ke’lapang’an hati setelah bercukur pertama kali.

Bercukur dalam ritual umrah menandakan tahallul – tamatnya satu umrah yang bermula dengan niat di miqat diikuti dengan tawaf dan saei. Kerana bergunting ini selepas saei dan tahalul bagi umrah, ramai yang tersalah anggap bercukur atau bergunting itu tahalullul. Bagi haji tahallul itu bukan bergunting tetapi melaksanakan tiga rukun - melontar di Aqabah, tawaf serta saei dan bergunting.

Sebenarnya niat asal saya untuk bercukur bukan lahir semata-mata kerana rukun tetapi terbit dari kisah yang tercatit dalam sirah – berlaku semasa haji yang terhalang dalam peristiwa Hudaibiyah. Kisah bercukur ini diceritakan dengan cukup indah dalam tulisan Abu Bakar Sirajuddin (Martin Ling – Muhammad His Life Based The Earliest Sources), penulis barat yang memeluk Islam setelah mengkaji sejarah Rasulullah. Kerana cerita itu cukup indah bagi saya, izinkan saya tuliskan semula petikannya. Terjemahan saya sendiri, maaflah jika ia kurang menepati yang asli.

Dalam sejarah, sesungguhnya bercukur itu satu penghinaan. Ingatlah kisah utusan Rasulullah dibotakkan oleh pengganti Chosroe di Madain, sebagai menghina Rasulullah.

Namun ia hakikatnya satu penghinaan diri di hadapan Tuhan Maha Pencipta. Setiap helai rambut yang digugurkan ini mengharapkan keampunan dariNya. Moga beroleh juga syafaat Rasulullah dan terlepas dari tergolong dalam golongan yang ‘sangsi’ dengan Baginda.

Segala puji yang tertentu bagi Allah yang telah menyempurnakan ibadahku, kurniakanlah satu kebajikan dengan setiap helai rambutku, hapuskanlah denganya satu kejahatan, angkatlah dengannya satu darjat, ampunilah aku serta orang-orang yang bercukur, bergunting dan sekelian orang-orang Islam.’
[Doa bercukur]

Maha Suci Allah, Segala Pujian Bagi Allah dan Allah Maha Besar.

Kemenangan Yang Pasti

Terjemahan Petikan daripada Abu Bakar Sirajuddin (Martin Ling – Muhammad His Life Based The Earliest Sources)

Sebahagian daripada kekecewaan (sahabat) akhirnya mula mereda; namun sewaktu Suhayl dan yang lain (rombongan Qurasy) meninggalkan kawasan perkhemahan membawa bersama mereka Abu Jandal (pemuda Qurasy yang memeluk Islam tetapi terpaksa diserahkan kepada keluarganya yang masih kafir kerana mematuhi terma perjanjian Hudaibiyah) yang menangis dibelenggu dengan rantai, jiwa orang-orang Islam kembali berkocak. Rasulullah berdiri berasingan bersama kelompok wakil-wakil yang menandatangani perjanjian. Baginda bergerak meninggalkan mereka, berjalan menuju kelompok jemaah. ‘Bangun dan korbankan haiwan kamu’ sabda Baginda, ‘dan cukurlah kepalamu’. Tidak seorangpun bergerak, Baginda mengulangi perintahnya kali kedua dan ketiga, namun semuanya merenung Baginda dengan wajah kosong dan hampa. Mereka tidak menentang Rasulullah, tetapi dengan keinginan mereka (untuk menunaikan umrah) berkecai dengan peristiwa yang berlaku, mereka benar-benar merasa keliru bila diperintah melaksanakan sesuatu yang tidak sewajarnya; dalam sunnah Ibrahim korban mesti dilaksanakan dalam Tanah Haram, begitu juga dengan bercukur. Begitu, keengganan mereka mengecewakan Rasulullah, lalu Baginda meninggalkan mereka menuju ke khemahnya sendiri dan memberitahu Ummu Salmah apa yang berlaku. ‘Pergilah,’ kata Ummu Salmah, ‘laksanakan korbanmu dan jangan kau berkata sesuatu kepada sesiapapun sehingga selesai korbanmu’. Rasulullah lalu beredar ke unta yang telah disiapkannya untuk korban dan dengan menyebut kuat-kuat: Bismillahi Allahu Akbar supaya didengar oleh rombongannya, menyembelih korban Baginda. Mendengarkan takbir Rasulullah, berkejaranlah sahabat bangun untuk melaksanakan korban; dan bila Rasulullah memanggil Khirash, dari suku Khuza’ah yang dihantar sebelum Uthman ke Mekah – untuk mencukur kepalanya, para sahabat bersegera mencukur satu sama lain hinggakan Ummu Salmah merasa takut kalau-kalau mereka mencederakan sesama mereka. Namun sebahagian mereka hanyalah menggunting rambut kerana tahu bahawa ianya dibolehkan sebagai ganti. Dalam masa yang sama, Rasulullah kembali ke khemah Baginda dengan Khirash; dan apabila selesai bercukur Baginda berdiri di hadapan khemahnya dengan kepala yang siap bercukur lalu berdoa: ‘Allah merahmati orang-orang yang bercukur!’ Sementelah, kumpulan yang hanya bergunting bersuara memprotes: ‘Dan orang-orang-orang yang bergunting, Ya Rasulullah.’ Tetapi Baginda mengulangi doa yang sama. Suara protes semakin kuat. Kemudian setelah diulang sekali lagi dan dengan laungan protes yang kian bergema barulah Baginda menambah: ‘dan untuk orang-orang yang bergunting!’ Bila ditanya kemudiannya kenapa Baginda awalnya hanya mendoakan orang-orang yang bercukur, Baginda menjawab: ‘Kerana mereka tidak sedikitpun berasa sangsi.’

Terjemahan petikan dari bab ‘Kemenangan Yang Pasti (A Clear Victory)’ m/s 254,255 Abu Bakar Sirajuddin (Martin Ling – Muhammad His Life Based The Earliest Sources)

Ihram

Memakai ihram adalah ritual penting haji dan umrah. Bagi perempuan, ihram hampir sama dengan memakai telekung sembahyang - ada pilihan nak berseluar atau berkain ‘maxi’. Masih ada ruang untuk kelihatan anggun sekalipun bertudung lingkup. Bagi lelaki, cuma dua helai kain putih yang tidak berjahit. Yang berjahit semua tak boleh walaupun yang kecik-kecik. Dan tidak tertinggal tali-pinggang ‘glamor’ haji yang warna hijau tu. Tali pinggang tu selain dari simpan duit adalah benda paling penting untuk elakkan kain terlucut atau terbuka. Jadi pakai ihram ini ada tekniknya. Masa belajar bab haji di sekolah lama dulu, faham saya ihram ini adalah pakaian. Lepas belajar semula ini baru saya sedar ihram ini lebih besar signifikasinya.

Memakai pakaian ihram disertai niat ‘Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.’ Renungi niat itu ‘....... aku berihram dengannya’ bererti memasuki ihram, memasuki ‘haram’. Dari segi fizikal ada tiga signifikasi memasuki ‘haram’ – satu memakai pakaian ihram, kedua memasuki Tanah Haram (al-Haramain kata orang Saudi) dan ketiga memasuki lingkungan di mana kita di’haram’kan dari melakukan sesuatu yang biasa kita lakukan untuk tempoh yang ditetapkan.

Paling utama, paling penting dan paling signifikan dalam ritual ihram ini adalah penyerahan diri secara mutlak untuk suatu ibadah kemuncak dalam kehidupan Mukmin. Kita memasuki ‘haram’ dengan mengharamkan diri kita dari keselesaan yang paling asas – pakaian dan naluri seks; kemewahan – memakai wangianpun dilarang; dan nafsu – berburu, membunuh binatang dan tanaman. Kita meninggalkan segala ‘keduniaan’ untuk pengabdian yang mutlak. Dalam tempoh ihram itu yang dituntut hanyalah untuk beribadat kepada Allah.

Ihram mesti dipakai sehingga tahalul. Kalau umrah tahalulnya bergunting atau bercukur. Kalau Haji tahalul ada tiga syarat. Saya teruja (bahasa standard untuk ‘excited’) juga nak cerita pasal bercukur ni sebab ada pengalaman peribadi yang menarik. Jadi kita ceritakan dalam bab lain. Lepas tahalul barulah terlepas dari ‘haram’; boleh tanggalkan pakaian ihram, boleh pakai baju biasa dan boleh semuanya.

Monday, November 22, 2004

Pakej ke Tabung Haji?

Pelik juga bila orang tahu kita nak ke Mekah soalan mereka ialah ‘Gi pakej ke gi Tabung Haji?’ Nampak macam ada ‘simbol status’ bila orang berada ke Mekah dengan pakej dan yang biasa pergi dengan muassasah haji. Sebenarnya setahu saya semua jemaah yang ke Mekah dari Malaysia mesti melalui Tabung Haji. Cuma selepas didaftarkan sebahagian yang mampu boleh memilih pemergian melalui agensi swasta. Setahun dua ini Tabung Haji pun dah ada ‘pakej’nya yang dibuat oleh anak syarikat TH Travel – inipun dikira ‘swasta’ juga. Yang pergi dengan ‘swasta’ kena bayar lebih dari kos minima yang ditetapkan oleh Tabung Haji. Lebih banyak mana bergantung dengan taraf pangsapuri atau hotelnya. Ada yang berharga 16 ribu, ke atas dan ada yang mencapai malah melebihi 40 ribu. Kelebihannya, pengurusan yang lebih peribadi sedikit berbanding muassasah, kediaman samada hotel atau pangsapuri yang lebih hampir dengan Masjidil-Haram di Mekah atau Masjidil Nabawi di Medinah. Ada juga kelebihan sebab agensi swasta tempatan seperti di Terengganu akan ramai jemaahnya orang Terengganu juga. Jadi jemaah bersama dalam kumpulan yang terbiasa. Kalau melalui muassasah Tabung Haji, jemaah dicampur dari seluruh Malaysia. Baik pula untuk kenal-mengenali. Sebenarnya tiada soal status dalam haji, juga tiada persoalan status bagi yang membayar lebih untuk sedikit lebih keselesaan, hanya mereka membelanjakan lebihan rezeki mereka di jalan yang sama. Lagipun dalam kacau-bilau lingkungan lebih 2 juta manusia, yang teratur rapi pun kemungkinan besar akan terperangkap dalam kacau-bilau yang sama. Nauzubillah.

Bila orang tanya saya, ‘Gi pakej ke gi Tabung Haji?’

Saya gi dengan pakej Tabung Haji je.’ InsyaAllah

Sunday, November 21, 2004

Kursus Haji.

Saya terlepas kursus haji bersiri yang dibuat sepanjang tahun. Mungkin sebab saya tidak menjangka akan dapat pergi setelah rayuan pertama ditolak. Bila rayuan kedua dibuat dan diterima barulah kelam-kabut untuk berkursus. Bagi orang-orang macam saya inilah agaknya kursus haji intensif dibuat. Dan khabarnya adalah satu lagi raptai haji perdana sebelum berangkat nanti, cukup dengan qiamullail sekali. Bagaimanalagi kita hendak menafikan betapa Tabung Haji cukup teratur dan terperinci.

Kursus Haji intensif ini lucu juga. Terketar-ketar pakcik-makcik bila kena menjawab soalan periksa. Pakai A B C (objektif) pulak tu. Orang umur lima puluhan mana pernah ambil periksa objektif. Kelakar juga Tabung Haji ini rasa saya. Seorang dua disebelah saya, jangankan nak menjawab soalan periksa, membaca menulispun tak reti. ‘Awang tolong jawablah untuk pakcik’ minta mereka. Ada yang menarik nafas lega bila diumumkan ‘yang tak pas periksa pun boleh gi haji juga.’ Kata seorang pakcik, ‘Pok dok rajing mis krusus aji. Masa krusus ingak blake, le ning dok ingat satu sa doh.’ (Pakcik tak pernah tertinggal kursus haji. Masa kursus ingat belaka. Sekarang semuanya dah lupa.) Namun begitu ujian sebegini dan penerangan selepasnya cukup berkesan untuk melihat tahap kesediaan jemaah. Paling terkesan adalah kata pegawai haji, ‘Kalau tak ingat pun tak apa, haji ini kebanyakannya hanya niat dan perbuatan, bukan hafalan. Lagipun ustaz-ustaz dari Tabung Haji akan sentiasa ada untuk menjawab sebarang persoalan. Bagi yang saat-akhir macam saya penjelasan falsafah haji dan keperihatinan pengurusan haji sebegini ‘melegakan’.

Saturday, November 20, 2004

Tabung Haji

Ramai orang kata Tabung Haji macam-macam. Saya juga begitu. Tapi pasal urusan haji biarlah saya jadi orang yang berkata mereka hampir sempurna. Kekurangan mereka bukan kerana kekurangan usaha (not for lack of trying) tetapi kerana suasana. Pengalaman mereka berdekad-dekad lamanya mengurus puluhan ribu manusia, men’selesa’kan mereka dalam kelompok yang berjuta bukan mudah. Ada anak empat orang anak dalam kereta pun sudah pening kepala, apatah lagi melayan tok ki, tok wan, pakcik makcik, abang adik, tak kira lagi ‘datuk datin’ yang mahu dilayan bagai datuk datin di tempat sendiri. Mereka cukup teratur, cukup sistematik. Dari buka akaun Tabung Haji, mendaftar untuk haji, kursus, raptai dan segala urusan pengangkutan, penempatan, makan minum, kesihatan dan kebajikan, segalanya disusun kemas dan teratur. Saya ‘tabik’ dan mencanang ‘kebaikan’ Tabung Haji ini kerana saya bukanlah jenis orang yang mudah menerima sesuatu yang kurang teratur, bukan mudah menyebut ‘sabor, hok susoh ni ujiang blake’ [sabar, segala kesusahan ini ujian belaka] bila berdepan dengan kekurangan dan kelam-kabut. Saya ‘ter’biasa dengan segala urusan harian diurus orang lain, beratur untuk urusan bank dan pejabat pun amat jarang. Namun sebenarnya saya mendapati ujian haji adalah ujian diri, bukan semasa ditanah suci sahaja malah dari sini lagi. Pegawai-pegawai Tabung Haji saya puji kerana keramahan mereka, kesabaran mereka berdepan dengan manusia yang berbagai kerenah dan rupa.

Paling utama rasa saya ialah pendekatan mereka. Mungkin ia hanya perasan saya, tapi saya melihat mereka telah melepasi persoalan ‘mistik’ yang sering dikaitkan dengan haji dan menggantikan dengan penjelasan yang hampir saintifik. Contoh? Orang kita sering mengaitkan jemaah yang sakit di Tanah Suci dengan ‘pembalasan’ atas dosa-dosa kita. Jawaban Tabung Haji rasa saya cukup cantik. ‘Janganlah kita bebankan sahabat kita dengan tohmahan. Kalau pun mereka dikifaratkan dan bukan kita, sepatutnya kita doakan mereka agar mudah mengerjakan haji bersama-sama kita. Sebenarnya ramai kita yang sakit kerana tidak menjaga kesihatan sebelum berangkat, tidur yang tidak cukup melayan tetamu yang berziarah, kenduri yang dibuat disaat akhir, runsing dalam kapalterbang hingga tidak dapat melelapkan mata, cuaca yang berbeza, banyak berjalan-kaki dan adakalanya keletihan kerana terlalu banyak amalan sunat hingga tiada lagi tenaga untuk melaksanakan rukun haji selepas wukuf dan di hari-hari tasyrik.’ Jawaban seperti ini sebenarnya membuka mata jemaah. Lebih baik lagi adalah saranan agar para bakal haji berlatih berjalan kaki sebulan-dua sebelum berangkat. Lepas kursus haji saya nampak makin bertambah teman ‘jogging’ dan berjalan di Taman Batu Buruk waktu pagi.

Untuk pegawai dan kakitangan Tabung Haji – syabas. Jazzakallah Hu Khairan.

Mukaddimah

Umrah 1998 melahirkan rasa rindu yang amat sangat untuk kembali berada di hadapan rumah Allah sekali lagi. Kali ini sebagai tetamu untuk melaksanakan haji. Masih lagi ada kalinya menitis air mata mengingatkan rasa lapang dan ‘lega’ bila kepala dicukur botak selepas sai’ kali kedua; juga lenguh ‘labu betis dan keting’ menapak lantai marmar yang keras waktu tawaf dan sai’. Kata orang-orang dahulu, hanya tetamu yang dijemput sahaja akan sampai ke Baitullah. InsyaAllah. Itulah doa semasa tawaf wida’ dahulu. Rindu yang terbuku bila tidak lagi dibenar menoleh ke belakang melihat Kaabah dalam perjalanan pulang.

Syukur kerana jemputan itu telah datang. Izin dari ‘tuan pemilik rumah’ – setelah lama menunggu. Mungkin ada sebab kenapa jemputan lewat itu. Sebenarnya yang memohon untuk pergi itu belum bersedia. Mungkin sekarangpun belum sepenuhnya. Tapi dengan izinNya, kesediaan itu adalah ketentuanNya juga.